KETIKA Zubir
menemubual Lis Dawati sedikit masa lalu, dia menafikan dirinya bercinta
dengan aktor stunts, Fauzi Nawawi dan terus memberikan kenyataannya,
menganggap Fauzi tidak lebih dari seorang abang. Begitu juga dengan
Fauzi, mengaku menyukai Lis, namun menganggap hubungan mereka sekadar
adik dan abang saja.
Addo!
Sekarang ni ke mana saja Zubir pergi, terutama apabila jumpa dengan
rakan artis dari dunia lakonan, pasti bercakap mengenai mereka. Lis dan
Fauzi bukan lagi seperti abang dan adik, sebaliknya pasangan merpati
dua sejoli yang sedang dilamun asmara!
“Zubir, mata kita orang ni tengok sendiri, kalau Lis berlakon, Fauzi
akan turun ke set menemani buah hatinya itu. Begitu juga dengan Fauzi,
apabila dia berlakon, Lis setia menemani kekasih hatinya itu. Walaupun
mereka kadang-kadang shooting jauh di luar Kuala Lumpur, tak kiralah
Lis ke, Fauzi ke, sanggup teman berteman!
“Kita orang bukannya dengki Zubir, tapi janganlah main cak-cak. Ni
apabila orang tanya, korang ni bercinta ke, tapi tak pernah nak
mengaku. Tapi, kalau dah diusung ke hulu, ke hilir, apa yang nak
disorokkan lagi? Mengaku sajalah korang tu bercinta, habis cerita,”
cerita seorang krew produksi kepada Zubir, baru-baru ini.
Zubir pula dapat cerita lain, khabarnya dalam asyik bercinta tu, Zubir
difahamkan Lis dan Fauzi sedang merancang untuk menempuh hari bahagia,
mereka nak kahwin tak lama lagi. Zubir hanya tumpang gembira mendengar
perkhabaran terbaru ini. Satu yang Zubir doakan, mudah-mudahan apa yang
dirancang, menjadi kenyataan, insya-Allah.
PERASAAN
terkejut, gembira dan terharu bercampur baur di hati Zubir apabila
menerima panggilan telefon daripada pengacara dan pelakon cantik manis,
Sarimah Ibrahim, lewat petang Khamis lalu, memaklumkan dirinya kini
sudah bergelar isteri!
Zubir
terharu kerana Sarimah adalah seorang rakan artis yang dah Zubir anggap
seperti kawan baik kerana dia tak pernah lupa janji. Kali terakhir
berjumpa dengan Sarimah ketika Zubir menghadiri jemputan berbuka puasa
daripada seorang lagi kawan baik, Erra Fazira di JW Marriott, Kuala
Lumpur, tahun lalu.
Ketika hendak pulang, Zubir bersama Erra terserempak dengan Sarimah
bersama teman lelakinya di lobi hotel. Zubir sempat berpesan dengan
Sarimah, kalau kau kahwin nanti, jangan lupa beritahu aku Mah
(Sarimah)!
“Zubir aku pernah janji dengan kau kan, kalau aku kahwin, aku beritahu
kau. Now, aku nak beritahu kau, aku dah kahwin!,” jerit Sarimah ketika
menghubungi Zubir.
Dalam nada ceria, Sarimah, 28, memaklumkan kepada Zubir, suaminya ialah
Amir Andrew Abdullah, 35, dan mereka dinikahkan pada 13 Mei lalu di
Masjid Dublin, Ireland.
Mereka dinikahkan Imam Yahya Mohd Al-Hussein. Suaminya ialah seorang arkitek yang sudah 10 tahun menetap di Malaysia.
Manakala majlis kenduri kendara untuk saudara mara dan rakan Sarimah di
Malaysia akan diadakan di Batu Pahat, Johor sebelum akhir tahun ini.
Pada masa sama, Zubir masih teringat ketika mewawancara Sarimah suatu
ketika dulu, di mana dia pernah memberitahu Zubir, dia hanya akan
berkahwin, jika Siti Nurhaliza kahwin dulu! Tapi, rupa-rupanya dia yang
kahwin dulu daripada Siti, itulah yang dinamakan jodoh.
Pada kesempatan ini, Zubir dan warga kerja Bintang Popular ingin mengucapkan Selamat Pengantin Baru kepada Sarimah dan Amir.
APABILA Bintang
Popular minggu lepas menyiarkan kisah sensasi mengenai usahawan Datuk
Khalid Mohamad Jiwa atau lebih mesra dengan panggilan Datuk K serta
rombongannya pergi merisik Siti Nurhaliza di Kuala Lipis, sekali gus
dikatakan berbincang mengenai tarikh perkahwinan mereka, banyak sungguh
respon yang diterima daripada pembaca mahupun peminat.
Rata-rata mahukan kepastian - bilakah tarikh sebenar mereka akan
disatukan? Terus-terang, sehingga artikel ini `diketuk' Khamis lalu,
saya sendiri belum pasti tarikh sebenarnya kerana ia masih lagi
terawang-awang.
Namun menerusi satu sumber yang boleh sangat dipercayai, saya
difahamkan bahawa hari indah itu bakal berlangsung antara Ogos dan
September ini, sekiranya segala-galanya berjalan lancar.
Secara terperinci juga saya belum tahu tetapi secara dasarnya,
saya dimaklumkan sumber itu bahawa mak dan abah Siti sudah pun merestui
perhubungan anak dan bakal menantu mereka itu!
Sebenarnya, restu itulah yang lebih penting kerana dengan restu
mak abah jugalah Siti boleh dinikahkan. Kata orang, buat sesuatu jangan
gopoh yakni, step by step. Selepas mendapat restu, barulah hajat di
hati dapat disuarakan dan kemudian menetapkan segala tarikh yang
terbaik, betul tidak? Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai
perkembangan positif mengenai cerita risik-merisik Datuk K terhadap
Siti, silalah baca tulisan wartawan Zubir Mohd Yunus di Halaman 6.
Dalam pada itu, macam-macam teori terus diperkatakan orang apabila
Siti dan Datuk K masih bermain teka-teki mengenai gosip cinta mereka
itu.
Antara yang sampai ke telinga saya dan boleh diterima, Siti tidak
mahu membuat keputusan melulu kerana menghormati perasaan ayah dan
ibunya.
Siti tentu tidak mahu jadi anak derhaka. Tidak tidak kurang
berpendapat, lengah-lengah itu adalah satu strategi untuk melonjakkan
jualan album terbaru Siti, Transkripsi kerana pasaran album yang
lembab, sekali gus mengekalkan populariti Siti di dada akhbar.
Teori lain pula berkata, Datuk K, enggan terburu-buru membuat
pengumuman kerana masih terikat dengan hal-hal peribadi dengan
keluarganya. Beliau perlu menjaga hati banyak pihak termasuk
anak-anaknya tetapi ada gosip mengatakan anakanak Datuk K sudah boleh
menerima Siti.
Biasalah, itulah dugaan apabila berkahwin dengan seorang duda. Saya
sendiri tidak melihat jauh kerana perkara seperti itu sendiri berlaku
di kalangan keluarga saya.
Entahlah, bagi saya, hanya Tuhan Maha Mengetahui mengenai apa yang
sebenarnya agenda Siti dan Datuk K ketika ini tetapi saya yakin
kedua-dua mereka sedang mencari kebahagiaan. Siapa yang tidak ingin
hidup bahagia tetapi tidak semua kebahagiaan itu boleh `dibeli dengan
harga yang murah'. Semoga Siti akan tabah dan bersabar.
CERITA artis
kahwin cerai dalam dunia hiburan makin `bermaharajalela'. Tentunya
golongan artis sendiri diburu kebimbangan kerana keadaan ini boleh
membuatkan masyarakat menyalah anggap bahawa rumahtangga artis tidak
akan mampu bertahan lama.
Apabila soalan sebegitu diajukan kepada Fauziah Latiff atau Jee, dia hanya tersenyum dan tidak lekas melatah.
"Perkahwinan dan perceraian selalu berlaku dalam masyarakat dan
membabitkan semua golongan. Cuma yang lebih mendapat liputan selalunya
hanyalah artis dan selebriti. Jadi nampaknya seolah-olah macam artis
saja yang berkahwin dan bercerai-berai," katanya yang nyata semakin
langsing.
Ketika ini, Jee semakin aktif menyanyi di sana-sini tetapi dia
jarang kelihatan bersama suaminya, Johan Indot. Jadi timbullah
desas-desus mengatakan mereka hilang keserasian untuk terus hidup
bersama.
"Biasalah, Jee dah masak dengan tanggapan sebegitu. Memang itulah
nasib menjadi public figure. Selama ini pun, kalau Jee ada persembahan,
Johan tidak akan mengikut Jee kecuali kalau kami menghadiri majlis
rasmi. Jee biasanya akan ditemani pembantu Jee dan tidak patutlah orang
beranggapan begitu.
"Tapi apapun, Jee sedar, mulut tempayan kita boleh tutup, tapi mulut manusia memang susah," katanya.
Dalam usia 36 tahun, Jee gembira melihat dua anaknya membesar.
Keadaan ini juga membolehkannya kembali aktif merakamkan album baru
selepas puas menjadi pengkritik tetap dalam Malaysian Idol.
Album Pesona kini di pasaran
SELEPAS empat tahun tanpa album baru, Jee sudah bersedia untuk
aktif kembali. Buat permulaan, dia merakamkan sebuah album khas lagu
saduran yang mengumpul lagu hit ciptaan komposer Amerika Syarikat, Jim
Brickman.
Album yang diberi judul Pesona berada di pasaran mulai hari ini (2 Julai).
Lagu berkenaan adalah Berjanjilah, Seindah Cinta, Dilema Mimpi dan
Kekasihku. Jee turut memuatkan empat lagu lamanya yang diberi nafas
baru iaitu Digamit Memori, Segalanya Berakhir Di Sini, Hari Yang
Istimewa dan Sahabat.
"Saya membuat persiapan dari segi mental dan fizikal untuk
kembali. Badan saya makin langsing mungkin disebabkan banyak bersenam
dan berlatih kick-boxing. Bagi saya stamina amat penting untuk aktif
semula selepas empat tahun tidak menyanyi.
"Pemilihan lagu karya Jim Brickman itu adalah sebagai satu
kelainan. Saya gembira kerana semua penulis liriknya adalah wartawan
hiburan yang juga kenalan saya selama ini. Ia sebuah album yang
istimewa dan belum pernah dihasilkan sejak saya menjadi penyanyi
kira-kira 21 tahun lalu," jelasnya.
INFO: JEE
1. Fauziah Latiff atau Jee dilahirkan pada 5 Disember 1970 di
Air Tawar, Perak. Dia mula menyanyi sejak di bangku sekolah ketika
berusia 15 tahun lagi.
2. Album sulungnya, Digamit Memori muncul pada 1988. Hingga
kini, dia memiliki 17 album rakaman dan dikenali dengan lagu Digamit
Memori, Teratai Layu Di Tasik Madu, Dia, Batas Menanti dan Aku Sebutir
Pasir. Dia pernah bergelar Penghibur Terbaik dalam Pesta Kingsway di
RTM pada 1989.
3. Album terbarunya, Pesona, terbitan Firmzz Sdn Bhd menampilkan
lagu saduran karya komposer dan pemuzik Amerika Syarikat, Jim Brickman.
Selain nyanyian, Jee, 36, juga pernah mencuba bakat lakonan menerusi
sitkom Lontong dan teater muzika Rubiah.
4. Meminati sukan lasak seperti selam skuba, menunggang kuda dan kick-boxing.
5. Jee pernah menjadi pengkritik Malaysian Idol untuk musim pertama dan kedua bersama Paul Moss dan Roslan Aziz.
6. Perkahwinan pertama Jee dengan Syed Budriz pada 1992 berakhir kira-kira tiga tahun kemudian.
7. Jee mendirikan rumahtangga keduanya bersama ahli perniagaan,
Johan Indot pada 19 Jun 1997 di London dan dikurniakan dua cahaya mata,
Jeffri Joaquim, 8, dan Jeremy Jay, 6.
SAYA masih remaja dan sangat mudah terangsang. Ini membuatkan saya rimas dan runsing terutama apabila berhadapan dengan wanita. Bagaimanakah cara untuk mengelakkan ia berulang?
JOHN | Lumut, Perak.
SEBAHAGIAN tanda baligh bagi lelaki ialah tumbesaran anggota kelamin dan reproduktif dalaman seperti buah zakar serta pundi menghasilkan air mazi.
Ia adalah pundi prostat, seminal, cowpers dan littres (pundi yang menghasilkan air mazi dari salur kencing). Pundi-pundi itu menghasilkan cecair tersendiri ketika terangsang.
Cecair yang keluar awal akibat rangsangan seksual (rangsangan mental akibat berdepan dengan perempuan) adalah daripada salur kencing. Warna cecair ini jernih dan melekit. Ia melicinkan salur kencing dan memudahkan pancutan air mani. Pada mulanya pengeluaran cecair ini mudah berlaku hingga seluar dalam boleh basah.
Apabila lelaki remaja dapat meningkatkan kawalan diri daripada mudah terangsang, pengeluaran cecair itu berkurangan dan lama-kelamaan akan terkawal kecuali ketika melakukan onani.
SAYA sudah berkahwin tiga bulan lalu, tetapi setiap kali mengadakan hubungan seks dengan isteri, saya mengalami masalah klimaks terlalu cepat.
Ini membuatkan saya dan isteri melakukannya sekali lagi kerana tidak puas. Bagaimanapun, saya perlu berehat seketika sebelum bersama kembali. Kebiasaannya hubungan kali kedua itu saya boleh bertahan lama dan kami sama-sama puas.
Cuma yang merunsingkan saya ialah kenapa saya sukar bertahan dalam hubungan seks yang pertama?
NAZROL | Negeri Sembilan.
SEBAHAGIAN besar lelaki yang melakukan hubungan seks mendapati mereka mudah sangat klimaks walaupun belum cukup bersedia. Ini membuatkan mereka cemas dan tertekan terutama jika isteri mereka mula bersuara mengenai ketidakpuasan yang berlaku kepada hubungan itu.
Bagi isteri, apabila suami klimaks ia bermakna suami sudah puas. Bagaimanapun, mereka tidak sedar bahawa suami masing-masing sebenarnya turut belum cukup puas dengan hubungan seks yang dilakukan itu.
Lelaki yang masih bertenaga dan mahu mencuba bersetubuh kali kedua akan mendapati mereka dapat mengawal ereksi dengan lebih lama serta lebih puas. Bagaimanapun, tidak ramai lelaki yang sanggup menunggu untuk mencapai ereksi kedua.
Masalah cepat klimaks sudah banyak kali dibicarakan. Masalah utamanya ialah kerana daya kawalan ejakulasi tidak kukuh. Jika lelaki yang mengalami masalah ini dapat mengawal ereksi ke tahap yang padat dan ejakulasi akan berlaku tepat pada masanya.
Jika tidak, anda boleh menggunakan getah penambat yang diikat pada pada pangkal zakar. Dalam keadaan sebegitu zakar dengan ereksi padat tidak mudah tewas kerana keadaan sedikit kurang selesa itu dapat mencegah klimaks sehingga lelaki itu sendiri mahukannya.
Selain itu, kaedah mengemut boleh dipraktikkan dengan menggerakkan zakar di dalam faraj dalam keadaan kemut (seperti menahan membuang air kecil atau besar).
Krim pengebas juga boleh disapu pada hujung zakar yang begitu sensitif. Bagaimanapun, hanya 30 peratus saja yang berjaya dengan kaedah ini.
Anda juga boleh menggunakan ubat melambatkan klimaks seperti Sertralin (Zoloft) atau ubat PDE-5 Inhibitor seperti Viagra, Levitra dan Cialis (tetapi perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dulu). Ia tidak melewatkan ejakulasi tetapi dapat membantu mencapai ereksi kedua dalam masa yang singkat.
Selain berusaha memanjangkan masa intimasi, sentuhan dan belaian dapat membatu melegakan tekanan kepada kedua-dua pihak. Jika masih buntu juga, segeralah berjumpa doktor.
MENGIKUT kenyataan doktor dalam ruangan ini, air mani perlu cair supaya sperma mudah bergerak apabila ia memasuki faraj. Dalam erti kata lain, air mani yang cair adalah lebih berkualiti berbanding yang pekat.
Sejak akhir-akhir ini, sebahagian daripada air mani saya agak pekat. Adakah ini menandakan sperma saya akan bermasalah?
Seperkara lagi yang membimbangkan saya ialah saya tidak lagi dapat merasai nikmat ketika ejakulasi.
ANAS | Kota Kinabalu, Sabah.
AIR mani kebiasaannya pekat ketika ia keluar dan kepekatannya hilang dalam tempoh lima hingga 20 minit. Ia memudahkan sperma yang terkandung dalamnya bergerak untuk masuk ke pangkal rahim dan seterusnya mencari telur untuk percantuman.
Jika air mani itu kekal pekat, sperma terperangkap dan mungkin akan mati! Ada juga air mani yang terus cair kerana isi padu yang luar biasa melebihi enam mililiter atau akibat kekurangan bahan pemekat kerana kekerapan mengeluarkan air mani. Ini pun bukan masalah kerana sperma masih dapat bergerak aktif.
Paling penting bagi air mani ialah ia perlu mempunyai kandungan sperma melebihi 20 juta dalam setiap mililiter atau aktif dan dapat bergerak sehaluan (sekurang-kurangnya 40 peratus sperma perlu aktif dan bergerak sehaluan) serta berbentuk normal (sekurang-kurangnya 30 peratus).
Semua ini hanya dapat dikenal pasti jika lelaki itu menjalani ujian air mani. Ujian ini akan disyorkan kepada semua lelaki yang menjalani pemeriksaan kesuburan.
Klimaks rangsangan seksual untuk lelaki berakhir dengan pancutan air mani atau ejakulasi dan ia adalah kemuncak rangsangan syahwat. Kualiti kemuncak bergantung kepada tahap rangsangan yang mana ia ada kaitan dengan tahap hormon testosterone.
Bagi lelaki yang kerap melakukan onani sudah tentu tahap hormon itu tinggi dan apabila dia menghentikan perbuatan itu, maka tahap hormon testosterone akan lega. Apabila menerima rangsangan seksual, dia masih mampu untuk terangsang tetapi kualitinya mungkin tidak seperti dulu.
Ini adalah perkara biasa dan bukannya satu masalah. Apabila lelaki itu mula aktif kembali dan mempunyai isteri yang mudah mencapai kemuncak, kualiti rangsangannya mungkin lebih kerana dia mempunyai pasangan yang boleh menghairahkannya.
Untuk meningkatkan keghairahan, anda boleh amalkan pemakanan suplemen Tongkat Ali yang disahkan Kementerian Kesihatan. Ia dapat memantapkan hormon testosterone dan dijual di farmasi.
SAYA penghidap kencing manis dan mengambil pil metformin empat biji sehari sejak 10 bulan lalu. Selain itu, saya memiliki tanda-tanda masalah disfungsi erektil.
Saya berusia 32 tahun dengan ketinggian 178 sentimeter dan berat 106 kilogram. Sudah berkahwin dan Alhamdulillah, dikurniakan lima anak.
Masalah lain, zakar saya agak pendek. Keadaan ini sedikit sebanyak mengurangkan keyakinan saya apabila ingin bersetubuh dengan isteri. Saya harap doktor dapat membantu saya.
JAIS,
Gombak, Selangor.
WALAUPUN anda merasakan zakar anda pendek, tetapi anda dilihat berkemampuan dalam hubungan seksual sehingga dikurniakan lima anak. Malangnya, masalah penyakit kencing manis menganggu kehidupan seksual anda sejak 10 bulan lalu.
Masalah disfungsi erektil mempunyai kaitan dengan zakar yang tidak cukup tegang untuk tujuan persetubuhan. Bagi zakar kecil, ia lebih kepada keinginan untuk memiliki saiz besar . Kedua-dua perkara ini sebenarnya tidak mempunyai kaitan.
Rawatan mengatasi masalah disfungsi erektil ialah memastikan pengaliran darah cukup ke ruang otot zakar supaya otot zakar padat dan ereksi tegap. Ini boleh dilakukan melalui beberapa cara rawatan seperti pengambilan ubat PDE-5 Inhibitor seperti Viagra, Cialis dan Levitra atau suntikan ubat cavajet yang boleh melegakan otot zakar supaya banyak darah dapat memasukinya.
Selain itu, ia boleh diatasi dengan menggunakan alat pam vakum. Menerusinya zakar yang tegang akan diikat dengan getah penambat supaya ketegangan dapat dikekalkan.
Untuk menambah saiz zakar, alat penarik otot zakar atau 'penile extender' jenama Andropenis boleh digunakan untuk jangkamasa empat hingga enam bulan.
Ia berkesan untuk menambahkan saiz ereksi secara tetap antara dua hingga lima sentimeter. Alat ini perlu dipakai mengikut panduan dalam buku atau dengan bimbingan doktor. Jika berminat, sila layari laman web www.drismailtambi.com untuk maklumat lanjut dan untuk membuat tempahan.
SAYA akan berkahwin pada hujung tahun ini, tetapi agak gusar apabila memikirkan bagaimana untuk menghadapi malam pertama. Saya ingin mengetahui cara untuk meyakinkan pasangan supaya masing-masing mendapat keselesaan dan kepuasan.
Mungkin doktor boleh cadangkan pelbagai posisi untuk bersetubuh sebagai panduan kepada saya.
JAI,
Ampang, Selangor.
MEMANG fobia apabila memikirkan mengenai seks malam pertama. Ia seolah-olah sesuatu yang paling mustahak untuk menentukan masa depan kedua-dua pasangan.
Hubungan seksual bukan satu pertarungan, apatah lagi sebagai penentu kehidupan. Ia adalah aspek fizikal hubungan kemesraan yang terjalin antara dua insan yang cukup mesra dan intim.
Melalui hubungan ini kedua dua insan itu dapat mencurahkan perasaan kasih sayang dan syahwat melalui sentuhan erotik yang akan memberikan mereka keyakinan kepada hubungan mereka.
Proses interaksi fizikal semula jadi iaitu lelaki akan terangsang apabila dia mula melakukan sentuhan fizikal kepada isteri. Seterusnya akan berlaku ereksi dan bersedia untuk meneruskan sentuhan yang lebih intim kepada pasangannya.
Dalam masa yang sama isteri akan terangsang dengan sentuhan intim yang dilakukan kepadanya dan dia akan dapati anggota sulitnya mengembang dan mungkin bahagian antara bibir lembap yang menandakan hubungan penetratif seksual boleh dilakukan.
Isteri yang takut akan mendapati rasa terangsang tadi terbantut dan faraj menjadi kering. Keadaan ini dikenali sebagai mati putik malam pertama.
Jika hubungan penetratif dilakukan juga, isteri itu akan terasa sakit. Mungkin jika mahu teruskan juga, si suami boleh menggunakan jeli pelicin dan apabila isteri berasa selesa atau tidak sakit seperti yang dijangkakan, dia akan mula yakin dan tidak akan keberatan untuk melakukan hubungan seksual penetratif pada bila-bila masa.
Lelaki yang fobia kerana gementar atau akibat situasi yang berlaku yang mana pasangan isteri panik, akan juga mengalami kegagalan untuk mengekalkan ereksinya kerana dalam keadaan itu, homon adrenalin keluar dan merencatkan perjalanan darah ke dalam zakar. Maka dia akan mengalami mati pucuk sekunder atau mati pucuk malam pertama.
Jangan fikirkankan sangat perkara itu. Paling mustahak cuba berkerjasama.
SAYA bapa kepada empat anak dan bakal menimang cahaya mata kelima. Perkahwinan saya sudah berusia 18 tahun.
Masalahnya, isteri saya dingin dalam hubungan seks terutama sejak mengandung anak kelima ini. Sikapnya amat mendukacitakan saya, sehinggakan saya terasa seolah-olah mati pucuk. Jika ingin bersamanya, dia langsung tidak berminat untuk mengadakan hubungan seks.
Sejak kebelakangan ini, saya tidak dapat mengawal nafsu seks untuk bersetubuh. Paling trauma saya kerap bermimpi keluar mani (seperti baru baligh).
Saya juga mengalami tekanan jika tidak mengeluarkan mani sehinggakan seluruh badan saya sakit terutama pada bahagian pinggang. Jadi untuk meredakan kesakitan saya terpaksa melakukan onani untuk memuaskan nafsu seks.
Adakah saya tergolong dalam lelaki yang kuat seks? Apakah kesannya pada zakar saya jika kerap melakukan onani? Betulkah jika air mani kita tidak keluar begitu lama badan kita akan terasa sakit?
SUAMI RESAH | Pulau Pinang.
HUBUNGAN seksual menyeronokkan kedua-dua pasangan jika itu yang dihajatkan. Kepada individu yang memang bersemangat dalam aspek hubungan syahwat, dia akan bersemangat dan seronok jika hajatnya untuk bersetubuh tercapai.
Tanda-tanda seperti lenguh badan, sakit kepala, sakit belakang dan kurang mood akan muncul. Ada juga lelaki yang mengalami kesakitan pada buah zakar seperti rasa kencing tak lawas.
Bagaimanapun, semua ini akan hilang jika dia mencapai klimaks akibat onani. Tanda-tanda yang dialami sebelum itu ialah kesan tekanan atau stress kerana tidak dapat melakukan hubungan seks dengan pasangan.
Apabila dia mendapat kelegaan sama ada melalui onani atau mimpi basah, dia akan rasa selesa seketika dan selagi perkara ini tidak dapat penyelesaian, tanda berkenaan akan berulang.
Jika anda dan isteri bekerjasama mengatasi masalah ini, tekanan sekarang tidak akan berterusan dan terkawal. Anda juga perlu tahu hubungan seks sememangnya memerlukan tenaga dan tahap kesihatan yang sempurna.
Bagi wanita, mood adalah penting. Dalam keadaan letih selepas seharian bekerja termasuk menguruskan rumahtangga dan anak, wanita kebiasaannya tiada tenaga untuk suaminya.
Keadaan mungkin boleh berubah jika anda membantu mengurangkan beban pengurusan rumahtangga dan memberi layanan yang baik.
Mood isteri boleh berubah dan dia boleh memberi layanan yang diidamkan suami dan dirinya tanpa melakukannya sebagai satu tanggungjawab.
Ada banyak cara wanita boleh memuaskan suami tanpa bersetubuh seperti mengurut dan membelai anggota kemaluan suami sehingga klimaks.
Nafsu syahwat atau naluri seksual adalah anugerah Tuhan. Keperluannya juga berbeza bagi lelaki dan wanita. Soal kuat seks tidak timbul. Apa yang penting ia terkawal dan dilakukan tanpa mengikut hawa nafsu.
SAYA berusia 30 tahun dan sedang mengandungkan anak kedua. Baru-baru ini saya pening kepala dan muntah. Doktor yang merawat mengesahkan saya mengalami kencing kotor dan saya diberi ubat.
Adakah sebarang kesan sampingan berbahaya kepada bayi dalam kandungan akibat masalah kencing kotor itu?
MAS, Kuala Lumpur.
MASALAH kencing kotor kebiasaannya berpunca daripada jangkitan kuman dalam pundi kencing sahaja. Sekiranya dibiarkan, ia boleh terus menjangkiti buah pinggang atau ke dalam aliran darah.
Di samping itu, ia boleh menyebabkan kelahiran pramatang. Kadangkala, kencing kotor tidak disertai jangkitan kuman. Ini boleh dipastikan melalui ujian kultur air kencing.
Seeloknya anda minum air yang banyak serta tidak menahan kencing. Menahan kencing menyebabkan air kencing berkumpul dalam tempoh lama dalam pundi kencing manakala kuman di dalamnya juga boleh membiak dalam tempoh berken aan.
SAYA seorang ibu tunggal berusia 46 tahun. Pada April lalu, saya datang haid dua kali. Selepas habis haid dalam masa lima hari, saya datang haid lagi dua hari tetapi sedikit saja.
Adakah ia petanda menopaus atau masalah lain?
NOR | Johor Bahru, Johor.
MUNGKIN ia petanda menopaus, mungkin juga ia petanda masalah lain. Anda dinasihatkan berjumpa doktor. Gangguan haid seperti ini boleh disebabkan oleh masalah berkaitan ketidaknormalan pada rahim, ovari dan organ lain.
Pemeriksaan dalaman termasuk ujian pap smear, pemeriksaan ultrabunyi dan ujian darah mungkin akan dilakukan. Ujian lanjutan (pengambilan sampel tisu lapisan dalam rahim) juga mungkin perlu. Di samping itu, doktor juga akan memeriksa tekanan darah serta ujian kencing manis.
Doktor Sakit Tuan
JIKA anda menghadapi masalah kesihatan berkaitan perkara sulit yang sukar diselesaikan, Pakar Sakit Tuan, Dr Ismail Thamby sedia membantu.
Pakar Sakit Puan
bersama DR ADILAH AHMAT
Pakar Perunding Perbidanan & Sakit Puan dan Rawatan Kesuburan, Pusat Rawatan Islam, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur